FEBRUARI 2026

FORUM EKONOMI MALAYSIA 2026 JADI PLATFORM PERTUMBUHAN MAMPAN DAN SEIMBANG


KUALA LUMPUR, 5 Februari 2026 — Yang Amat Berhormat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, hari ini menghadiri Forum Ekonomi Malaysia 2026 yang bertemakan “Accelerating Growth, Advancing Malaysia.” Ini menzahirkan komitmen berterusan Sarawak dalam menyokong agenda pembangunan ekonomi negara.

Forum tersebut merupakan platform nasional utama yang menghimpunkan pembuat dasar, pemimpin industri, ahli akademik serta wakil masyarakat sivil bagi membincangkan hala tuju ekonomi negara selari dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13). Forum ini memberi penekanan kepada pelaksanaan dasar secara berkesan serta pencapaian hasil yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Penganjuran forum ini bertujuan memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan sektor swasta dalam menghadapi cabaran ekonomi global, di samping merangka strategi bagi mempercepat pertumbuhan ekonomi negara secara mampan dan inklusif.

Forum ini turut menampilkan ucaptama Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Anwar bin Ibrahim, dan sesi pelancaran rasmi Forum Ekonomi Malaysia 2026.

Antara sorotan forum termasuk sesi pembentangan dan perbincangan bertema yang dibahagikan kepada dua trek utama, merangkumi topik hala tuju Malaysia sebagai negara berasaskan kecerdasan buatan (AI), pengurusan kelestarian dan peralihan tenaga, pemerkasaan teknologi dan inovasi tempatan, serta reformasi sistem kesihatan ke arah perkhidmatan yang adil, mampu milik dan berkualiti.

Selain itu, forum tersebut turut membincangkan strategi perdagangan dan pelaburan bagi kepelbagaian ekonomi serta peluasan pasaran global, pembangunan dan penarikan bakat masa hadapan, reformasi sektor perumahan, serta persediaan negara menghadapi cabaran populasi menua, selari dengan perubahan struktur demografi negara.

Kehadiran Yang Amat Berhormat Premier Sarawak mencerminkan peranan aktif Sarawak dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi nasional, sekali gus menegaskan kesediaan Sarawak untuk terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh daya tahan ekonomi negara serta memastikan pertumbuhan yang seimbang dan mampan demi kesejahteraan rakyat.